"DALAM LEMBUT BERSENI ADA KERAS TAK TERPERI, DALAM KERASNYA PULA ADA LEMBUT BERSENI, PETANDA SOPAN SANTUN BANGSA BERBUDI"

Jumaat, 13 Mei 2016

PENGERTIAN KERIS MENURUT SUMBER KELANTAN

Assalamualaikum wbt.

Tujuan post pada kali ini ialah untuk hamba berkongsi sedikit berkenaan makna di sebalik nama keris, menurut sumber-sumber dari Kelantan, daripada buku-buku berkaitan keris koleksi hamba sendiri.

Sumber yang hamba petik untuk tujuan post kali ini ialah seperti berikut:



Zakaria B. Abdullah, "Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu". D Warisan Darul Naim dengan kerjasama Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan (cetakan pertama 2007)


Emil Bahari, "Semangat Keris Melayu: Menjawab Persoalan Ada Apa Dengan Keris?". Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (terbitan pertama 2009)


MENURUT BUKU RAHSIA KERIS DAN SENJATA WARISAN MELAYU


Pada permulaan buku ini, disertakan sebuah gambarajah yang menunjukkan beberapa siri maksud tersirat di sebalik empat huruf jawi yang membentuk perkataan keris (Kaf, Ra, Ya dan Sin). Sila rujuk gambar di bawah.


Berdasarkan gambarajah di atas, terdapat enam rangkap kenyataan yang boleh dibentuk berdasarkan empat huruf diatas, yakni:

1. Kuasa Raja Yang Sejagat
2. Kebanggaan Rakyat Yang Setia
3. Kemuliaan Raja Yang Susila
4. Keamanan Rakyat Yang Sejahtera
5. Kekuatan Raja Yang Sakti
6. Ketahanan Rakyat Yang Sepadu

Rangkap-rangkap ini, pada tafsiran hamba, menunjukkan kegunaan keris dan signifikannya kepada orang Melayu, yang antara lainnya menjadi lambang dan simbol kuasa, kemuliaan dan kekuatan serta kedaulatan raja pemerintah. Manatakan tidak, bukan calang-calang tukang yang boleh menghasilkan ukiran dan hasil pertukangan bermutu tinggi dan unik yang ada pada keris dan juga bukan calang-calang orang yang mampu memiliki dan mengarahkan penghasilannya oleh tukang tersebut.
Ini ialah antara nilai-nilai tambahan yang ada pada keris selain daripada digunakan sebagai senjata dan alat mempertahankan diri, seterusnya meletakkan keris pada tempat yang istimewa di hati orang Melayu dan menjadikan ia warisan bangsa kebanggaan mereka.

Namun, tidak dinyatakan secara spesifik di dalam buku tersebut dari mana konsep di atas diambil. Mungkin sahaja konsep ini telah lama difahami dan disimpan oleh orang-orang Melayu terdahulu di Negeri Kelantan, khususnya. Tambahan pula memang diakui oleh penulis sendiri bahawa bahan-bahan dan informasi yang terdapat dalam bukunya adalah daripada pandangan pencinta keris Malaysia amnya dan Kelantan khasnya.

Tidak diketahui pula oleh hamba akan konsep yang sama atau sepadan daripada negeri-negeri lain mahupun tempat-tempat lain di nusantara, setakat ilmu hasil bacaan hamba setakat ini.

Suka juga untuk hamba kongsikan bahawa gambarajah yang sama boleh didapati di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu, Kelantan. Hamba berkesempatan melawat ke sana ketika menghadiri Pertandingann Senjata Cantik di Istana Jahar pada 26 Mac 2016 yang lalu.  


Diagram tentang pengertian perkataan keris seperti yang terdapat di balai senjata Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu


Poster promosi Pameran Senjata Cantik & Batu Permata Adat Melayu Kelantan di luar pintu pagar Istana Jahar semasa lawatan hamba ke sana pada 26 Mac 2016


Keindahan senibina Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar), Kota Bharu

MENURUT BUKU SEMANGAT KERIS MELAYU


Memetik kata-kata penulis buku Semangat Keris Melayu, sejarah lisan dari negeri Kelantan memberikan perkataan keris itu membawa maksud "Keramat, Rahsia, Yang, Satu", yang terbentuk daripada empat huruf jawi Kaf, Ra, Ya dan Sin yang membentuk perkataan 'keris'.

Menurut penulis, maksud "Keramat, Rahsia, Yang dan Satu" itu bolehlah dihurai seperti berikut:

Keramat
Kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya yang suci dan yang membawa kepada kebaikan. Juga membawa maksud kemuliaan yang diberikan kepada keris oleh bangsa Melayu.

Rahsia
Pada keris itu terdapat rahsia-rahsia yang berupa simbol atau perlambangan serta falsafah yang tersembunyi.

Yang Satu
Pada keris itu terdapat tanda-tanda dan perlambangan yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Sesungguhnya, berdasarkan dua buah buku ini sahaja, dapat kita lihat bahawa keris itu pada diri seorang Melayu bukanlah semata-mata sebuah senjata untuk membunuh atau mempertahankan diri, tetapi juga menjadi lambang jati diri dan identiti seorang Melayu, manifestasi ketinggian ilmu falsafah dan perlambangan mereka, sebagai simbol status dan pengenalan diri serta sebuah karya seni warisan turun temurun yang harus diletakkan ditempat yang sewajarnya. 

Harapan kita semua agar warisan kita ini dikenali, dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang, dan bukannya menjadi satu tabu atau ketakutan mereka yang hanya memandang kepada sudut mistik sesetengah keris yang dimiliki individu tertentu sahaja.

Wallahualam.